Khamis, 10 Disember 2020

Kisah Kematian Oyen


Dia tunggu aku balik kerja depan rumah, takde apa kelainan sebab macam tu la rutin dia dah hampir 4 tahun. 

Turun kereta aku gosok kepala bagi makan macam hari-hari sebelum. 

Senja sikit aku turun sapu-sapu halaman rumah dia duk main kejar-kejar burung depan aku. Aktif je seperti selalu.

Tengah orang azan Maghrib bunyi dia buka pintu.

Ya.

Oyen ni memang dia pandai buka pintu sendiri dari kecil, dia panjat grill dia tekan tombol pintu, kalau tak berkunci dari dalam macam tu la cara dia masuk dalam rumah. 

Masuk je dalam rumah, dia duduk atas kaki aku, aku gosok kepala dia dan dia jalan pergi bilik kakak Aina.

Usai solat Maghrib Isyraf datang bagitau oyen macam tersedu-sedu susah nak nafas, aku, isteri dan anak-anak pergi tengok dia masa tu dia tarik nafas panjang dan tubuhnya tersentak. 

Anak-anak tanya kenapa? 

Aku cakap Oyen dah mati. 

Menangis la si kakak dan adik, sampai saat aku tulis ni masih lagi tak berhenti nangis.

Ya, Oyen tu kucing je binatang je tapi aku dan isteri dah anggap macam anak sendiri sebab dia ni istimewa, tak pernah keluarkan kuku bila main dan bergurau dengan kami malah baby Fateh buat dia macam bantal dan alat mainan pun dia layan je.

Dulu masa kecil pernah satu kali dia cakar sofa rumah kami, isteri aku cakap kat dia jangan buat macam tu! (Gaya marahkan anak bernada tinggi sedikit sambil tunjuk jari kat dia) dan itu la kali pertama dan terakhir dia cakar sofa rumah kami. 

Tak pernah walau satu kali Oyen berak atau kencing atas rumah kami. 

Oyen ni dia tidur kat luar rumah tapi kadang-kadang dia nak tidur dalam rumah pun aku bagi je sebab dia tak membuang atas rumah dan memang dia tunggu keluar rumah baru dia melepas.

Benar.

Memang dia kucing je tapi Isyraf bahasakan dirinya abang kat Oyen, kakak Aina bahasakan kakak, isteri aku bahasakan ibu dan aku memang bahasakan diri aku Abah kat Oyen. 

Itu lah sebabnya aku kata Oyen ni dah macam anak aku dan dah macam adik-beradik kepada anak-anak aku. 

Kalau ikutkan nak cerita terlampau banyak kenangan dengan si Oyen ni. 

Sekadar itu saja la kisah “anakku” yang sangat baik dan sangat berjasa.

Apa punca dia mati? 

Entah.

Aku tak tahu dan tak nak fikir, aku anggap memang dah tertulis umurnya hingga hari ini saja. 

Kami redha. 

Dari kecil sampai la akhir hayat dia baik, berjasa dan tak pernah buat kami marah. 

Selamat tinggal Oyen.

Terima kasih kerana menjadi sebahagian dari keluarga kami walaupun hanya untuk tempoh hampir 4 tahun, kami bertuah kerana pernah ada ahli keluarga sebaik kamu walaupun kamu hanya seekor kucing. 

“Ya.. dia kucing, binatang yang paling dicintai Rasulullah S.A.W”

Kami akan rindu kamu sampai bila-bila.

Ridzwan Rashid
12.12.2019 @ 8.20PM

Si Oyen Yang Dirindui

Tak berhenti-henti dia mengiau hingga serak suara. Itu lah kali pertama bila aku berjumpa dengan si Oyen.


Awalnya Oyen ni dibeli oleh kawan aku dari seorang breeder. 


Sempat la dia jaga lebih kurang sebulan macam tu, dia pula bersalin. Jadi mak kawan aku tu letak la oyen kat luar rumah dalam sangkar kecil.


Umur dia masa tu lebih kurang 4 bulan.


Tetiba aku dapat Wasap dari dia, “kalau nak kucing datang la ambik”. Aku bergegas la kerumah dia sebab aku tahu kucing yang dia baru beli tu memang cantik sebab aku sendiri pernah lihat si Oyen ni waktu dia berada di breeder.


Tiba je dirumah kawan, aku tengok 3-4 ekor kucing liar ada di sekeliling sangkar si Oyen, riak wajah Oyen waktu tu tak payah nak cakap la, ketakutan gila, mengiau seolah-oleh melawan kucing liar (sebenarnya takut) tak henti-henti hingga serak dah suaranya.


Aku terus bawa balik kerumah, bawa masuk dalam rumah, keluarkan dia, belai-belai, peluk-peluk, ajak buat main sebab nak bagi dia rasa selamat, dilindungi dan menghilangkan fobia.


Sejak dari hari itu boleh dikatakan Oyen memang dah jadi anak manja kami. 


Kami layan dia tak macam kucing adakalanya.


Lebih kurang 8 bulan juga Oyen duk dalam rumah je, “fulltime indoor cat”. 


Tapi bila dia “On Heat” mulalah berusaha nak keluar dari rumah untuk cari “Pakwe”. 


Ya, Oyen ni kucing betina.


Aku dah mula fikir nak pergi mandulkan Si Oyen sebab nak bagi dia sihat dan tak “On heat” lagi tapi isteri aku cakap bagi lah dia beranak sekali lepas tu baru spay.


Si Oyen ni aku tak kurung dalam sangkar, aku biarkan saja dia bebas bergerak dalam rumah. 


Aku sediakan satu litte box dan situlah dia “melepas” tanpa gagal.  


Ya, ada lah juga satu sangkar tapi aku hanya kurung dia bila dia tidak sihat saja untuk tujuan jagaan rapi.


Sungguh.


Waktu subuh dia la yang akan kejut aku dan isteri, boleh dikatakan hampir setiap hari kecuali jika pintu bilik aku tertutup baru la bunyi dia mengiau dari luar je. 


Setelah kami setuju nak bagi dia rasai suasana mengandung dan beranak, maka mulai hari itu aku dah mula biarkan Oyen bermain di luar rumah dan ya Oyen akhirnya disahkan mengandung. 


Bila dah beranak, Oyen dan anak-anak dia kembali duk dalam rumah sepanjang masa lebih kurang 3 bulan lebih.


Anak Oyen ada 5 ekor semuanya cantik-cantik dan kami dah serahkan kepada orang lain kesemua anaknya. 


Alhamdulillah anak-anak Oyen semua dapat ayah dan ibu angkat yang baik-baik belaka.


Haa.. lupa nak cerita..


Oyen sangat baik dengan kami semua, bila dipanggil dia terus datang kadang-kadang nak beriba, kami layankan saja. 


Ya, dengan kakak Aina dia paling manja sebab sikakak melayan habis si Oyen ni. 


Isyraf pula Oyen suka menyakat, hampir tiap-tiap hari la boleh tengok Isyraf bergaduh dengan Oyen kadang-kadang Isyraf merajuk taknak kawan Oyen haha.


Tapi Israf pun sayang je kat Oyen. 


Gaduh adik beradik macam mana tah? 


Setelah kesemua anak-anak dia kami bagi kat orang lain, aku terus bawa Oyen ke Klinik Vet untuk mandulkan. 


Tudia.


Manja mengalahkan Diva dalam tempoh rawatan spay dia. 


Nak setiap masa orang belai dia kalau tak dia merenget macam kesakitan padahal ubat tahan sakit baru ja bagi. 


Bila dah sembuh sepenuhnya, kami mula ajar Oyen untuk berada sepenuhnya diluar rumah. 


Bukan tujuan nak menganianya dia sebenarnya, cuma kami ingin dia merasa habitat sebenar dia saja.


Walaupun dah jadi kucing “outdoor”, cukup masa aku akan beri ubat sepatutnya untuk Oyen dan dia sentiasa dibersihkan dan Vaksin tahunan sudah semestinya.


Pintu rumah kami memang sentiasa terbuka dan dia bebas keluar masuk rumah, kami tak kisah pun.


Kalau pintu tertutup pun si Oyen ni pandai buka sendiri bila dia nak masuk. 


Kalau pintu berkunci dia ketuk.


Yaa ketuk!


Bukan cakar pintu ya. Kami tak ajar semua tu, mungkin dia lihat apa yang kami buat agaknya.


Hadiah?


Kalau nak cerita bab “hadiah” memang banyak la dari si Oyen ni. Dia pernah bawa balik ular, tikus, katak dan burung kerumah.


Stress aku dibuatnya.


Dah jadi bodyguard!


Waktu petang dia lah yang selalu teman aku kemas halaman rumah, teman je pun, ingat ada juga jasa boleh tolong potong rumput ke apa ke. 


Tapi cara dia teman aku kalau perhatikan macam bodyguard pun ada mata memerhati sekeliling, risau ada harimau ke gajah ke serang kami haha. 


Sebab tu isteri aku dah mula gelarkan dia bodyguard kami.


Kisah kelahiran Baby Fateh


Isteri aku sepenuh masa berpantang dirumah kami atas kelahiran baby Fateh. Ya, abah kau ni la yang uruskan urusan sepanjang ibunya berpantang.


Oyen berkenalan dengan baby Fateh


Mulanya Oyen usya je dari jauh baby Fateh. Kemudian dia mula dekati dan hidu-hidu kepala baby Fateh. 


Kami perhatikan dengan penuh hati-hati juga, mana tahu kan dia bertindak aggresif ke apa sebab kali pertama berjumpa. 


Lepas hidu, Oyen mula jilat kepala baby Fateh dan rasmilah sudah sesi berkenalan dan bermulalah episod Oyen jadi bahan mainan baby Fateh. 


Kekadang kesian juga aku tengok Oyen diperlakukan tapi dia macam ok saja melayan telatah baby.


Bila kami nak keluar rumah Oyen akan lihat dengan wajah penuh sedih dan bila kami sampai kerumah dia sentiasa menanti didepan rumah, adakalanya dia duduk atas kepala pagar rumah.


Tiba hari kematian oyen, aku tanam dia ditepi pokok kelapa kakak Aina, atas permintaannya sebab dia nak Oyen bersatu dengan pokok kelapa dia katanya. 


Sebelum kambus, Kakak Aina dan Isyraf minta aku angkat wajah Oyen sebab mereka nak lihat buat kali terakhir, aku tunaikan saja. 


Apa lagi, makin kuat la dorang menangis. 


Ya.


Kami dah sebulat suara mungkin tidak akan membela kucing lain buat masa terdekat kerana Oyen mungkin tiada pengganti. 


Kau sangat baik Oyen, sangat berjasa dan menghadirkan sejuta kenangan buat kami semua. 


Kau bukan sekadar kucing Oyen, malah dah jadi sebahagian dari keluarga kami.


Kami Redha..


Coretan ini adalah hadiah terakhir yang aku boleh berikan kepada mu wahai “anak”. 


Kau hadir tidak lah lama, namun kehadiran yang penuh bermakna buat kami sekeluarga. 


Insyallah kami akan sentiasa mengingati dan merindui kamu selamanya.


Dari Abahmu.


Ridzwan Rashid

12.12.2019 @ 9.40 PM


Rabu, 9 Disember 2020

Kisah Abdul Khabar

“Tiga hari naik keretapi biasa dari Guangzhou ke Xinjiang, bunyi keretapi jek jek jek,” kusyuk dia bercerita sambil ketawa. 

Dari tingkap sebelah kanan unggu, dari tingkap sebelah kiri kuning, begitulah warna bunga-bunga menghiasi padang yang luas bila keretapi memasuki perbatasan Xinjiang. 


Ada satu sungai yang berlatarbelakangkan gunung, airnya warna putih macam cermin, tempat tu pernah nak diiktiraf antara tempat tercantik didunia, tapi tak jadi sebab Kerajaan China membantah.


Begitulah Wilayah Islam Xinjiang mengikut cerita seorang rakan dari sana.


Aku pernah ada sorang kawan dari etnik Uighur, Xinjiang. 


Nama dia Abdul Khabar. 


Rupa paras etnik Uighur tiada ciri-ciri kaum cina, tidak bermata sepet. 


Mereka boleh dikatakan mirip kepada bangsa turki. 


Bahasa pertuturan juga bahasa Turki, namun ramai antara mereka fasih berbahasa Arab.


Kali terakhir aku berhubung dengannya melalui “weechat” pada tahun 2016. 


Ayat terakhir dia bagitau lepas ni dah tak boleh guna “weechat” sebab kerajaan akan sekat semua penggunaan media sosial di wilayah Xinjiang. 


Begitulah.


Aku kenal dia bila ke Guangzhou pada tahun 2013. Ya lah, berseorangan jalan tempat orang, jumpa dan dapat kawan baru jadi sangat mudah.


Bila heboh diperkatakan kisah penindasan umat Islam Xinjiang aku mula cari maklumat, rupanya 2016 bermulanya penghapusan etnik uighur secara besar-besaran di Xinjiang.


Entah hidup, entah mati Khabar sekarang. 


Katanya sekarang lebih 2 juta penduduk Islam etnik Uighur di Xinjiang di tahan dan dipenjarakan. 


Ramai juga yang mati dalam tahanan tapi penguasa China menutup rapat cerita ini dari pengetahuan dunia luar. 


Tapi itu lah, nak tutup macam mana sangat dalam era dunia tanpa sempadan.


Kenapa China nak sangat Xinjiang?


Wilayah Islam Xinjiang strategik, bersempadan dengan beberapa buah negara seperti Uzbekistan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Rusia, Pakistan, Mongolia, Tibet dan Afganistan. 


China dalam proses mewujudkan laluan sutera baru dan laluan tersebut merentasi Wilayah Islam Xinjiang bagi meluaskan empayar diera ini. 


Sebab itu lah Wilayah Xinjiang perlu kekal berada dibawah taklukan mereka.


Dulunya nama bagi Xinjiang adalah Turkistan Timur, setelah dijajah oleh China tahun 1884 mereka menukar nama kepada Xinjiang yang bermaksud wilayah baru. 


Khilafah Islam pernah menakluk Wilayah ini dan Xinjiang pernah menjadi pusat penyebaran Islam yang hebat pada abad ke 9. 


Ramai ulama Islam lahir dari wilayah ini, antaranya ialah Sheikh Muhammad Salih Hajim.


Pernah jatuh ke tangan Empayar Manchu atau nama lainya Dinasti Qing, namun berjaya di takluk semula oleh Khilafah Islam selepas itu.


Banyak masjid berdiri megah di Xinjiang. Penduduk Islam mereka terutamanya etnik Uighur kuat mengamalkan ajaran Islam diwilayah tersebut. 


Tapi sedih.


Katanya sekarang mereka sudah tidak lagi mengamalkan ajaran Islam. 


Masjid sudah tidak lagi dibenarkan untuk bersolat dan menjadi pusat penyebaran ajaran Islam. 


Penguasa China hanya membenarkan masjid dijadikan pusat tarikan pelancong sahaja.


Semua ajaran Islam seperti berpuasa, membaca Al-Quran malah menyimpan janggut juga sudah tidak dibenarkan. 


Jika ingkar mereka akan ditangkap oleh penguasa China, malah akan disiksa dan dibunuh.


Sebenarnya sudah sekian lama penduduk Islam Xinjiang telah dibuli oleh Kerajaan China, namun tidaklah seteruk sekarang. 


Sebelum ini mereka kuat melawan, mereka pernah mengebom balai polis di Beijing sebagai tindas balas terhadap kezaliman yang diterima.


Pejuang-pejuang Islam Xinjiang seakan menghilang setelah tragedi pembantaian yang mahadahsyat dilakukan oleh penguasa China terhadap mereka. 


Kemanakah mereka?


Penduduk Islam wilayah tersebut sudah tidak lagi mengamalkan ajaran Islam secara terbuka akibat tekanan yang diberikan oleh penguasa China. 


Bahkan jika didapati menyimpan Al-Quran mereka akan ditangkap dan dipenjarakan.


Dunia Islam seharusnya membuka mata seluas-luasnya berhubung dengan isu penjajahan moden ini. 


Sampai bilakah penganut Islam harus dibuli dan dizalimi?


Ridzwan Rashid

19.12.2019 @ 8.45am

Selasa, 8 Disember 2020

Fenomena Yang Dinanti

Aku dilahirkan di sebuah perkampungan yang berada berhampiran dengan  Sungai Kelantan.

Sungai Kelantan merupakan sebuah sungai yang besar dan panjangnya mencecah ratusan kilometer ke hulu Kelantan.

Ditempat aku jugalah adanya satu muara utama yang mana air-air yang dibawa dari hulu sungai mula memasuki lautan China Selatan.

(Gambar Sungai Kelantan. Perhatikan muara sungai ini dan situlah kampungku)

Paras ketinggian kampungku ini boleh dikatakan agak rendah kerana hampir setiap tahun bila tibanya musim tengkujuh maka berlakulah fenomena banjir disini.

Namun banjir adalah suatu hal yang normal kepada kami penduduk disini kerana sudah sekian lama menghadapinya malah jika tahun tersebut tidak berlaku banjir ianya adalah suatu yang pelik.

Rumah-rumah dikawasan kelahiranku ini boleh dikatakan tinggi-tinggi belaka.

Kami sentiasa bersedia bagi menghadapi fenomena ini dan ianya adalah sesuatu yang dinanti-nantikan terutamanya kanak-kanak.

Ya.

Tiub tayar lori, bas dan kereta sentiasa ada tersedia di rumah-rumah kami pada waktu itu. 

Ada tiub lori dan bas dah kira hebat sangat dah dan ianya sangat menyeronokkan bila dapat berada diatasnya ketika bermain banjir.

Kebetulan pula ayahku adalah seorang pemandu bas express pada waktu itu. 

Jadi memang kami tidak sukar untuk mendapatkan bekalan tiub-tiub yang besar.

Begitulah.

Bagi penduduk yang mempunyai perahu pula, dua atau tiga bulan sebelum tibanya banjir, mereka akan menampal perahu-perahu mereka untuk persediaan menghadapi musim ini.

Berada di kawasan kelahiranku ini, kita tidak akan dapat melihat walaupun satu bukit jauh sekali nak lihat gunung.

Letaklah pandangan sejauh mana sekalipun anda tidak akan dapt melihat permandangan berbukit-bukau kerana jarak kawasan berbukit yang terdekat adalah sekitar 40 kilometer dari tempat ini.

Sebab tu lah aku minat dengan bukit bukau.

Bantuan?

Ketika aku masih kanak-kanak, seingat aku amat jarang penduduk nak dapat bantuan makanan pada musim banjir dan ianya adalah suatu perkara yang normal kerana persediaan makanan oleh penduduk memang telah dilakukan dari awal.

Malahan, bila tiba musim banjir maka tibalah juga resipi-resipi makanan yang hanya ada pada musim tersebut seperti ikan budu, ikan bengkak, putu halba dan lain-lain.

Berbeza dengan sekarang, makanan tersebut sudah mula dikomersialkan dan boleh dimakan pada bila-bila masa kecuali putu halba yang hanya dijual pada musim tengkujuh sahaja.

(Gambar putu halba. Lihat pun dah mengiurkan)

Benar.

Boleh dikatakan hampir semua penduduk kami pandai berenang  dan ianya adalah suatu hal yang memalukan bila ada yang tidak pandai berenang.

Tapi tidak dinafikan ada juga yang tidak berapa pandai terutamanya dari kalangan wanita.

Pernah juga kampung kami dilanda banjir besar namun jarang juga terdengar penduduk dipindahkan kepusat pemindahan banjir pda ketika itu.

Ya lah. Banjir besar tapi lantai rumah belum dicecah oleh paras air, kalau ada air pun ianya sedikit sahaja dan masih boleh dihadapi.

Berbeza dengan sekarang. 

Dahulu tiada istilah banjir termenung, iaitu suatu keadaan yang mana air susah untuk surut akibat pembangunan yang tidak dirancang dengan baik. 

Biasanya banjir hanya berlaku selama 2 hingga 3 hari sahaja pada waktu itu.

Wassalam.

Ridzwan Rashid
8.12.2020 @ 9.30 Pagi

Isnin, 7 Disember 2020

Berkenalan Dengan Kaum Moro, Berdakwah Di Perkampungan Orang Asli Berbogel

Kali pertama aku menjejakkan kaki ke Kota Kinabalu, Sabah pada 22 Mei 2006. Ketika itu aku dapat tawaran bekerja sebagai penjawat awam dan penempatan pertama aku adalah di Beaufort, Sabah.

Beaufort adalah satu daerah di Sabah yang berada di laluan utama untuk ke Brunei dan juga Labuan. Tapi untuk ke Labuan kita tidak akan melalui pekan utama Beaufort tetapi hanya memasuki daerahnya sahaja.

Penduduk Beaufort didominisasi oleh Kaum Bisaya yang mana mereka adalah 100% beragama Islam.

Di Sabah ada berpuluh-puluh etnik berlainan seperti Kadazan, Dusun, Murut dan pelbagai lagi. Walaupun begitu, kesemua etnik tersebut ialah dari satu rumpun sahaja iaitu rumpun Nusantara.

Pada peringkat awal ketika aku berada disana, aku tidak mempunyai sebarang pengangkutan sehinggalah abangku yang pada masa itu seorang kapten kapal TLDM telah memberi pinjam sebuah motosikal Honda EX5 yang beliau baru beli 3 bulan kepadaku. 

Maka bermulalah episod aku bersama EX5 pinjam tersebut selama 4 tahun lamanya.

Boleh dikatakan hampir setiap hari minggu selama 8 bulan aku akan ke Kota Kinabalu yang mana jaraknya 105 Kilometer sehala dengan menaiki EX5 tersebut untuk berjumpa rakan-rakan terutamanya sahabat baikku yang pada masa tersebut sedang belajar di Politeknik Kota Kinabalu.

Tambahan pula “kekasih hatiku” mula melapor diri untuk bertugas di Kota Kinabalu selang 4 bulan selepas aku mula bertugas di Beaufort maka makin berkobar-kobarlah aku nak ke Kota Kinabalu terutamanya pada hari minggu. 

Baik.

Kisahnya bermula disini. 

Ketika berada di Kota Kinabalu, aku selalunya akan bermalam di Masjid Negeri Sabah yang berada di Sembulan. Masjid tersebut boleh dikatakan besar, ya lah, masjid ibu negeri kan.

(gambar Masjid Sembulan, Sabah.)

Ruangan solat masjid di tingkat atas manakala ada ruangan beranda yang terpisah oleh pintu sliding kaca bagi memisahkan ruangan dalam tempat solat dan beranda. Ya, diberanda itulah tempat aku beradu.

Boleh dikatakan hampir setiap kali aku “berlojing” diberanda masjid tersebut aku tidak keseorangan. 

Ada sahaja bermacam-macam manusia terutamanya musafir yang turut menumpang tidur disitu dan sesudah subuh masing-masing akan membawa haluan masing-masing. Tapi biasanya jumlahnya tidaklah terlalu ramai dalam lingkungan 1 hingga 6 orang sahaja.

Begini.

Bermulanya kisah yang aku nak ceritakan ialah boleh dikatakan hampir setiap kali aku berada beranda masjid tersebut akan ada seorang lelaki yang berumur dalam lingkungan 50an turut berada disitu. 

Pada awalnya kami hanya mengangguk tanda bertegur sapa sahaja tapi bila lama kelamaan mungkin dia sudah biasa melihat kelibat aku disitu maka dia mula datang untuk berborak denganku.

Nama abang tu Hashim Moro, dia asal dari Mindanao, Filifina dan mempunyai dua isteri, seorang di Tuaran, Sabah manakala seorang lagi di Mindanao, Filifina.

Apa yang aku perasan beliau sentiasa solat tahajjud pada sebelah malam manakala aku? Tidur la. 

Esok kan nak jumpa kekasih hati. 

Hashim Moro ni dia tidak suka bercakap banyak tapi boleh diajak berborak dan apa yang aku paling suka dengan beliau adalah dia akan cakap dan tunjuk bukti sekali selaunya gambar dan matawang negara asing yang beliau pergi.

Aku tanya apa kerja dia dan apa yang dia cakap dia buat “part time” bisnes iaitu hantar bekalan mutiara dan kristal dari Filifina kepada peniaga sekitar Kota Kinabalu.

Panjang juga dia bercerita dari mana dia dapat bekalan tersebut dan aku agak seronok mendengar cerita dari beliau kerana orang yang tidak banyak cakap ni dia akan cerita point penting sahaja cerita jadi pendek dan padat.

Tapi, itu hanyalah kerja “part time” beliau sahaja. Apa kerja full time beliau? 

Dia jawab Dakwah!

Hashim Moro meneruskan perkataannya selepas memberitahu aku kerja sepenuh masanya ialah pendakwah. 

Dia kata dia bukan tabliq seperti yang aku fikir tapi dia adalah pendakwah. 

Dia dan kumpulannya hanya keluar berdakwah kepada manusia yang tidak beragama Islam sahaja. 

Menarik. 

Kerana pada sangkaan aku tabliq dan dakwah adalah sama.

Banyak yang beliau ceritakan tentang kerja dakwah yang beliau lakukan dan dari apa yang dia beritahu gerakan dakwah dia dapat sokongan dari VVIP beberapa buah negara terutamanya Malaysia Brunei dan Indonesia.

Gerakan mereka ada tabung yang mempunyai kewangan yang mencukupi untuk berdakwah keseluruh dunia.

Ya, seluruh pelusuk dunia! Bukan di Malaysia sahaja.

Antara cerita menarik yang menarik minat aku adalah kisah berdakwah ke perkampungan orang kerdil dikawasan hutan di Brazil dan dakwah di perkampungan orang asli yang tidak berpakaian di Ekuador.

Seperti biasa, bila sebut sahaja kaum kerdik terus dia tunjuk gambar dia dan kaum kerdil tersebut. Memang benar-benar kerdil, semuanya pendek pendek belaka dari budak kecil sampailah orang tua. 

Katanya kaum ini tidak terlalu sukar kerana mereka masih boleh menerima orang luar yang datang ke penempatan mereka.

Kisah kedua yang menarik dia ceritakan kepadaku ialah berdakwah kepada kaum orang asli yang berbogel di Equador juga dikawasan Hutan Amazon di Amerika Selatan. 

Beliau menyambung cerita, sebelum ke penempatan orang asli berkenaan, kumpulan beliau ada membuat kajian dan beberapa perbincangan.

Hasil dari kajian yang mereka lakukan mereka mendapati bahawa kaum orang asli yang berbogel tersebut sangat berbahaya.

Malah kaum tersebut pernah membunuh beberapa orang pendakwah Kristian yang sampai ke penempatan mereka dengan hanya satu alasan sahaja iaitu pendakwah Kristian tersebut tidak berbogel seperti mereka!!

Pelbagai idea keluar dari perbincangan mereka bagi tujuan ke penempatan orang asli tersebut dan perbincangan menjadi panas bila salah seorang dari mereka memberi cadangan agar mereka juga turut berbogel bagi tujuan tersebut.

Cadangan tersebut mendapat bantahan keras dari pendakwah yang hadir terutamanya “Amir” mereka. Amir merujuk kepada ketua kumpulan dakwah. 

Amir mereka berkata mereka tidak perlu takut kerana kerja dakwah yang kita akan lakukan nanti adalah kerja mulia segalanya kita serah kepada Allah sahaja. 

Beliau menambah lagi, Hidup dan mati semuanya sekali. Jika ditakdirkan kita mati kerana berdakwah syukurlah dari mati di kelab malam. 

Fuh! Berderau juga aku dengar semangat dakwah mereka.

Abang Hashim Moro menyambung cerita. Bila tiba hari yang ditetapkan maka pergilah mereka ke perkampungan orang asli tersebut.

Kumpulan mereka mereka terdiri dari tujuh orang peserta sahaja termasuk “Amir” mereka dan abang Hashim Moro sendiri.

Mereka perlu menempuh perjalanan meredah hutan selama hampir dua hari dari jalan utama dengan dikepalai oleh seorang pemandu arah orang tempatan.

Ketika sudah hampir dengan perkampungan berkenaan mereka masing-masing berborak dan menyerahkan segalanya kepada yang maha kuasa. 

Mengucap siap-siap celah Abang Hashim Moro.

Kaki mula dijejakkan dan mereka sangat terkejut kerana kedatangan mereka yang berpakaian dakwah ke perkampungan orang asli yang sangat asing itu seolah tiada apa-apa. 

Mereka disambut orang penduduk walau tidak dengan meriah tapi apa yang bermain diminda selama ini seolah-olah  berbohong.

Malah ada beberapa orang penduduk boleh bertutur dalam bahasa english walaupun hanya sepatah dua ayat. 

Cukup untuk memahami bahasa masing-masing walaupun sukar. 

Ya.

Mereka semua masih berbogel tapi ada juga yang menutup kemaluan terutamanya warga tua.

Mengikut cerita Abang Hashim Moro, cerita berkenaan kumpulan pendakwah Kristian dibunuh memang benar-benar berlaku, namun bukan kerana mereka tidak berbogel tetapi akibat membuat onar dengan memperkosa gadis-gadis kaum orang asli berkenaan.

Adakah mereka masuk Islam?

Abang Hashim Moro jawab tidak. 

Kerja dakwah terhadap mereka sangat sukar atas beberapa faktor terutamanya mereka hanya berada di perkampungan tersebut selama 2 minggu sahaja. 

Memang ada minat penduduk terhadap Islam bila melihat apa yang dilakukan oleh kumpulan Abang Hashim Moro (ibadat) tapi sayangnya kesukaran memahami bahasa masing-masing menyulitkan kerja dakwah mereka.

Walaupun mereka gagal mengislamkan kaum tersebut namun Abang Hashim Moro bersyukur kerana mereka adalah pendakwah Islam pertama yang menjejakkan kaki di perkampungan tersebut. 

Beliau menambah, moga suatu hari nanti ada golongan dakwah yang kembali kesana dan memudahkan kerja pengislaman kaum tersebut kerana mereka sudah pernah melihatnya sebelum ini.

Walaupun begitu.

Perkenalan aku dengan Abang Hashim Moro berakhir setelah aku tidak lagi menumpang tidur di masjid berkenaan kerana beberapa bulan selepas itu aku dah berkahwin dan menyewa rumah sendiri di Kota Kinabalu.

Beliau pernah memberi kad yang tertera nombor telefon beliau di Malaysia dan Filifina tapi entahlah kemana menghilang kad tersebut bila sekian lama berlalu.

Wassalam.

adios

Ridzwan Rashid

7.12.2020 @ 1.30 PM


Ahad, 6 Disember 2020

Ex5 Standart Offroad ke Lubuk Lesung


“Aku ada tempat power nak ajak kau pergi, tapi situ keras bro, bukan kata benda halus jer, Harimau dan Gajah pun ada”. -Mat Jek

Sebagai seorang “kaki hutan” aku terus sahut ajakan sahabat aku tu tanpa banyak lengah tanya dia bila boleh pergi dan nak pergi macam mana dia kata kita naik motor offroad sebab jalan masuk sekarang dah ada jalan 4WD. 

Kisah ni dah berlalu setahun yang lepas kira-kira 24 November 2019 cuma aku tuliskan kembali pada hari ini.

Dua tiga hari lepas tu aku terus kerumah sahabatku yang kira-kira 70 kilometer dari rumah aku.

Bila aku sampai dia terpinga-pinga dan buat-buat tanya betul ke nak masuk hutan tu? Aku kata ON, barang pun dah bawa, dia garu kepala jawab OK. 

Kemudian kami pergi ke rumah adik beliau untuk ambil motor cross tetapi motor tu tak ada kat rumah adik dia, rupanya ada kawan adiknya pinjam dan belum hantar. 

Kawan aku terus rembat motor Ex5 standart adik dia dan ajak aku masuk hutan. 

Ya, kami pergi naik satu motor tu saja.

Awal perjalanan kami motor masih selesa sebab jalanraya masih berturap dan melalui kawasan perkampungan yang seakan-akan kebun. 

Tak banyak rumah kat laluan tu walau jalannya cantik, kemudian mulalah masuk jalan berbatu dan lepas tu tibalah dikawasan jalan yang offroad.

Macam biasa, aku lah jokinya, beberapa kesukaran kami tempuh sepanjang perjalanan. Adakalanya sahabat aku terpaksa turun berjalan kaki saja kerana tak boleh nak lalu jalan bila membonceng. 

Acara usung motor pun banyak kali sebab memang tak boleh nak lalu dan hinggalah jumpa sebatang sungai.

Setelah Mat Jek buat ukuran terhadap kedalaman sungai alhamdulillah masih boleh dilalui dengan motor. Aku terus menggunakan segala kepakaran yang ada untuk meredah sungai tersebut.

Alahai. Bukan nak bangga apa, dari memula pandai bawa motor aku dah belajar cara nak meredah air sebab kampung aku setiap tahun banjir. Hehe

Kemudian.

Setelah menempuh pelbagai onak duri dan jalan berliku akhirnya kami sampai ke Lubuk Lesong setelah hampir dua jam memandu.

Sampai saja kat situ perkataan pertama keluar dari mulut Mat Jek ialah “Cisssss! Orang curi balak! Habis jahanam tempat ni”. 

Aku kata lah mungkin pembalak dapat permit ni dia jawab tak sebab ini kawasan Taman Negara. 

Waktu kami tiba di situ memang dah tiada aktiviti pembalakan berlaku cuma yang ada hanyalah sisa-sisa pembalakan tapi mujurlah tidak banyak yang sempat dirembat oleh mereka.


Walaupun rosak kerana tangan manusia yang tidak bertanggungjawab namun kecantikan Lubok Lesung masih boleh dilihat. 

Airnya jernih dan sangat dalam.

(gambar dibawah aku berdiri membelakangi lubuk lesung)
Kami berada di situ tak lama, kira-kira satu jam sahaja. Lepas masak meggi, kacau kopi dan solat zohor terus kami gerak untuk pulang.

Ada Harimau ke?

Setibanya di sungai yang aku ceritakan tadi, ada bau hamis menusuk hidung. Pada masa itu aku berada didepan tengah bawa motor dan Mat Jek berjalan dibelakang.

Aku tanya dia kau bau tak apa yang aku bau? Dia jawab Ya. Aku kata ini bau Harimau. Woi dia kata dah jom gerak tak payah berhenti.

Kami teruskan perjalanan menyeberangi sungai tersebut tanpa menole belakang dan kami berhenti setelah agak jauh dari tempat tadi dan masing-masing masih seriau dengan apa yang berlaku tadi.

Mat Jek kata sini memang ada Harimau. Banyak. Gajah pun ada sebab ianya hutan lepas yang bersambung dengan banjaran titiwangsa.

Dalam perjalanan pulang Mat Jek ada bawa aku ke beberapa tempat yang agak menarik dalam hutan tersebut dan yang paling memikat hatiku adalah bila dia bawa ke sebuah sungai yang sangat cantik, airnya sangat jernih.

Mandi manda lah pula kami disitu.

“Kat sini tak ramai orang tahu, orang kampung saja tahu sebab orang sini tak nak orang luar bawa sampah sarap masuk sini” aku angguk setuju. 

Memang benar bagai dikata. 

Setelah itu Mat Jek beritahu aku ada satu tempat lagi cantik dan lebih “power” dari Lubuk Lesong yang kita pergi tadi. Nama tempat tu Lubok Hangit.

Tapi.

Nak sampai ke Lubok Hangit dah tak boleh guna motor dan hanya boleh berjalan kaki sahaja. Ianya memakan masa 12 hingga 15 jam.

Fuh aku macam berminat nak pergi tapi bukan hari ini lah.

Lepas tu kami terus gerak pulang ke rumah Mat Jek dan insyallah perancangan ke Lubok Hangit masih berjalan hingga hari ini. Hanya menanti hari yang tiba sahaja.

Wassalam.. 

Adios.

Ridzwan Rashid

6.12.2020 @ 5.00 PM


Masuk Hutan Dan Mengembara

 Masuk hutan, panjat bukit dan gunung serta berjalan merentas dari satu daerah kesatu daerah yang lain atau dari satu negeri ke negeri yang lain bahkan “cross border” pun aku ON. 

https://drive.google.com/uc?export=view&id=1WXix4Z_ptL7TklLS6L8vdMzGd_L8JNkb

(Gambar offroad dengan EX5 standart adik kawan aku pada tahun 2018 gitu)


Semua tu tidak mustahil bagi aku kerana kemana sahaja secara berseorang adalah perkara biasa bagiku sejak dari dulu. 

Aku pernah berulang alik ketempat kerja sejauh 200km pergi balik selama 8 tahun dan ianya adalah hampir setiap hari.

Siapa yang rapat dengan aku dia tahu lah. Anda rasa pelik dan janggal kesana kesini terutama dalam jarak yang jauh berseorang? 

Aku tidak kisah kerana jiwa setiap manusia tidak sama dan yang penting adalah hormati perbezaan kerana perbezaan itu tidak semestinya salah.

Boleh aku andaikan hampir semua manusia ada hobi dan minat masing-masing. 

Begitu juga dengan aku. 

Insyallah suatu hari nanti aku akan mengembara keseluruh pelusuk alam ciptaan Allah ini. 

Aku belum pasti nak mengembara dengan menggunakan kenderaan apa samada kereta, motosikal, bas, keretapi dan ada kemungkinan juga jika secara berbasikal malah mungkin berjalan kaki.

Perancangan terdekat insyallah aku akan ke Mae Hong Son atau lebih popular sebagai 1000 corner bagi geng-geng motosikal iaitu di hujung negara Thailand dan juga segitiga emas yang juga berada tidak jauh dari situ. 

Doakan moga Covid 19 pulih agar kita semua dapat meneruskan rutin mengikut norma lama dan aku juga dapat mulakan perjalanan.

Dari 2010 aku dah mula baca beberapa blog dan catatan kembara di FB berkaitan touring dengan menggunakan basikal dan motosikal. 

Aku pernah juga beli basikal touring tapi dah jual selang 4 tahun kemudian kerana tersadai saja kat dalam stor rumah. 

Hajat nak touring berbasikal terbantut oleh beberapa hal tapi tak bermakna hobi dan cita-cita tersebut turut terjual bersama basikal itu ya. 

Sebenarnya, mengembara dan bertouring ni bukan suatu yang pelik, janggal dan hebat sangat untuk zaman ini kerana dah berjuta-juta orang lain lakukan. 

Aku minat dengan hal pengembaraan ni pun bukan untuk diriakkan kepada sesiapa tapi hanya untuk memenuhi impian dan cita-cita bagi melihat alam ciptaan Allah, melihat budaya dan bangsa yang mungkin asing bagiku sekaligus bagi mendekatkan lagi diri dengan pencipta yang maha esa. 

Alhamdulillah aku dikurniakan Allah seorang wanita pendamping yang sangat memahami diriku. 

Seorang isteri yang boleh dikatakan sentiasa bersetuju apa saja yang aku ingin lakukan namun tidak dinafikan ada juga yang sidia “cantik manis” tidak persetujui tetapi ianya adalah wajar dan boleh diterima akal yang waras.

Disebabkan hal ini insyallah tiada halangan untuk aku lakukan penjelajahan suatu hari nanti.

Berbalik kepada perancangan untuk ke Mae Hong Son dan segitiga emas ianya bermula bila bercerita dengan seorang rakan lama yang sekarang ni boleh dikatakan bergiat aktif dalam dunia permotoran (motor kapcai dan rxz jer hehe). 

Sedang borak kedai kopi dia ada bagitau insyallah nak ke 1000 corner lepas PKP dan aku apa lagi terus sahut untuk follow dia dan ya aku akan pergi berdua insyallah.

Jarak perjalanan dianggarkan sejauh 1600 kilometer sehala yang boleh ditempuh selama tiga hari jika nak cepat sampai. 

Aku rancang tak nak kelam kabut sebab bukan sampai ke Mae Hong Son adalah tujuan utama aku tetapi perjalananya. 

Hayati perjalanan adakala lebih indah dari tempat yang dituju. Mungkin 10 hingga 14 hari masa yang akan diambil nanti.

Persoalan timbul nak naik motor apa kan? Itu hal kecil saja sebab aku dah order sebuah motosikal Yahama Y15zr untuk tujuan ini. 

Awalnya dapat tentangan dari seorang rakan lain yang juga merupakan “orang lama” dalam dunia permotoran dan dia lebih rekomen untuk aku ambil Honda RS150 kerana dipercayai lebih baik untuk touring. 

Ya, aku akui RS150 lebih baik kerana telah terbukti dah sampai ke England dan Rusia oleh beberapa petouring negara tapi dia mungkin lupa bahawa Honda EX5 yang lebih cikai pun dan pernah sampai Mekah dan Rusia. 

Penyelesaianya ialah tanya jiwa. Itu saja.

Keputusan dah muktamad aku pilih Yamaha Y15ZR juga dan dah order pun dari kedai motosikal tempat aku. Jiwa masih Yamaha bro memandangkan dari dulu dah pernah pakai beberapa buah spesis Yamaha. 

https://drive.google.com/uc?export=view&id=12gEsZdc7ycE35R-JrdqAQ7P7DjJLWtkt

(Yamaha RXZ merah tu motor kawanku)

https://drive.google.com/uc?export=view&id=1LzRkAZMS3T0z5NSNS9nPUqSAYW-U6tME

(Test drive Yamaha RZ350 rakanku)

https://drive.google.com/uc?export=view&id=1Yx1JPjlozJn29W13SFDXIqCqw2mtYlG1

(Bersama Yamaha LC135 ke Terengganu tahun 2018)

Apa kelebihan Yamaha dan Y15ZR? Entah... hehe

Tepuk dada tanya selera.. 

https://drive.google.com/uc?export=view&id=1L6ZhBkR9sZPfoBLIgMqckDtREZWqOTWt

(Ini gambar Y15ZR V2 aku cedok dari FB sapa tah)


Adios..

Suatu Permulaan Yang Baru


 Seingat aku, dulu aku pernah ada beberapa blog di laman maya, tahu lah kan dulu-dulu mana ada FB dan kalau ada pun waktu tu Fb tersangatlah baru dan pencarian serta pembacaan di alam maya ni lebih kepada blog vlog dan juga forum-forum yang indah dan damai sahaja. 

Bila dah terdetik aku cuba la log masuk ke blogspot ni guna alamat email yang masih aku gunakan sekarang dan ternyata jumpa lah dua blog guna email ini. Posting terakhir tahun 2013 ketika aku baru pulang dari Guanzhou. 

Kisah jalan-jalan ke Guanzho tahun 2013 dulu pun aku tak sambung rupanya..hehe

Baik. 

Berbalik kepada kenapa aku tiba-tiba menulis di blog lagi setelah 7 tahun tinggalkan dunia blog yang indah ini. 

Sebenarnya sekarang aku dalam proses belajar menulis dan nak usaha untuk menulis dengan lebih baik. 

Aku akan tulis apa sahaja janji latihan menulis berteruskan bagi mendapatkan sebuah penulisan yang baik, seronok dibaca dan bersahaja.

Insyallah..

Lepas ni aku akan tulis apa sahaja hal menarik yang aku lalui dan moga ianya akan istiqamah.

Anggaplah blog ini satu nota kisah kehidupan aku untuk tatapan dihari tua ataupun untuk anak cucu akan datang. 

adios.