Isnin, 7 Disember 2020

Berkenalan Dengan Kaum Moro, Berdakwah Di Perkampungan Orang Asli Berbogel

Kali pertama aku menjejakkan kaki ke Kota Kinabalu, Sabah pada 22 Mei 2006. Ketika itu aku dapat tawaran bekerja sebagai penjawat awam dan penempatan pertama aku adalah di Beaufort, Sabah.

Beaufort adalah satu daerah di Sabah yang berada di laluan utama untuk ke Brunei dan juga Labuan. Tapi untuk ke Labuan kita tidak akan melalui pekan utama Beaufort tetapi hanya memasuki daerahnya sahaja.

Penduduk Beaufort didominisasi oleh Kaum Bisaya yang mana mereka adalah 100% beragama Islam.

Di Sabah ada berpuluh-puluh etnik berlainan seperti Kadazan, Dusun, Murut dan pelbagai lagi. Walaupun begitu, kesemua etnik tersebut ialah dari satu rumpun sahaja iaitu rumpun Nusantara.

Pada peringkat awal ketika aku berada disana, aku tidak mempunyai sebarang pengangkutan sehinggalah abangku yang pada masa itu seorang kapten kapal TLDM telah memberi pinjam sebuah motosikal Honda EX5 yang beliau baru beli 3 bulan kepadaku. 

Maka bermulalah episod aku bersama EX5 pinjam tersebut selama 4 tahun lamanya.

Boleh dikatakan hampir setiap hari minggu selama 8 bulan aku akan ke Kota Kinabalu yang mana jaraknya 105 Kilometer sehala dengan menaiki EX5 tersebut untuk berjumpa rakan-rakan terutamanya sahabat baikku yang pada masa tersebut sedang belajar di Politeknik Kota Kinabalu.

Tambahan pula “kekasih hatiku” mula melapor diri untuk bertugas di Kota Kinabalu selang 4 bulan selepas aku mula bertugas di Beaufort maka makin berkobar-kobarlah aku nak ke Kota Kinabalu terutamanya pada hari minggu. 

Baik.

Kisahnya bermula disini. 

Ketika berada di Kota Kinabalu, aku selalunya akan bermalam di Masjid Negeri Sabah yang berada di Sembulan. Masjid tersebut boleh dikatakan besar, ya lah, masjid ibu negeri kan.

(gambar Masjid Sembulan, Sabah.)

Ruangan solat masjid di tingkat atas manakala ada ruangan beranda yang terpisah oleh pintu sliding kaca bagi memisahkan ruangan dalam tempat solat dan beranda. Ya, diberanda itulah tempat aku beradu.

Boleh dikatakan hampir setiap kali aku “berlojing” diberanda masjid tersebut aku tidak keseorangan. 

Ada sahaja bermacam-macam manusia terutamanya musafir yang turut menumpang tidur disitu dan sesudah subuh masing-masing akan membawa haluan masing-masing. Tapi biasanya jumlahnya tidaklah terlalu ramai dalam lingkungan 1 hingga 6 orang sahaja.

Begini.

Bermulanya kisah yang aku nak ceritakan ialah boleh dikatakan hampir setiap kali aku berada beranda masjid tersebut akan ada seorang lelaki yang berumur dalam lingkungan 50an turut berada disitu. 

Pada awalnya kami hanya mengangguk tanda bertegur sapa sahaja tapi bila lama kelamaan mungkin dia sudah biasa melihat kelibat aku disitu maka dia mula datang untuk berborak denganku.

Nama abang tu Hashim Moro, dia asal dari Mindanao, Filifina dan mempunyai dua isteri, seorang di Tuaran, Sabah manakala seorang lagi di Mindanao, Filifina.

Apa yang aku perasan beliau sentiasa solat tahajjud pada sebelah malam manakala aku? Tidur la. 

Esok kan nak jumpa kekasih hati. 

Hashim Moro ni dia tidak suka bercakap banyak tapi boleh diajak berborak dan apa yang aku paling suka dengan beliau adalah dia akan cakap dan tunjuk bukti sekali selaunya gambar dan matawang negara asing yang beliau pergi.

Aku tanya apa kerja dia dan apa yang dia cakap dia buat “part time” bisnes iaitu hantar bekalan mutiara dan kristal dari Filifina kepada peniaga sekitar Kota Kinabalu.

Panjang juga dia bercerita dari mana dia dapat bekalan tersebut dan aku agak seronok mendengar cerita dari beliau kerana orang yang tidak banyak cakap ni dia akan cerita point penting sahaja cerita jadi pendek dan padat.

Tapi, itu hanyalah kerja “part time” beliau sahaja. Apa kerja full time beliau? 

Dia jawab Dakwah!

Hashim Moro meneruskan perkataannya selepas memberitahu aku kerja sepenuh masanya ialah pendakwah. 

Dia kata dia bukan tabliq seperti yang aku fikir tapi dia adalah pendakwah. 

Dia dan kumpulannya hanya keluar berdakwah kepada manusia yang tidak beragama Islam sahaja. 

Menarik. 

Kerana pada sangkaan aku tabliq dan dakwah adalah sama.

Banyak yang beliau ceritakan tentang kerja dakwah yang beliau lakukan dan dari apa yang dia beritahu gerakan dakwah dia dapat sokongan dari VVIP beberapa buah negara terutamanya Malaysia Brunei dan Indonesia.

Gerakan mereka ada tabung yang mempunyai kewangan yang mencukupi untuk berdakwah keseluruh dunia.

Ya, seluruh pelusuk dunia! Bukan di Malaysia sahaja.

Antara cerita menarik yang menarik minat aku adalah kisah berdakwah ke perkampungan orang kerdil dikawasan hutan di Brazil dan dakwah di perkampungan orang asli yang tidak berpakaian di Ekuador.

Seperti biasa, bila sebut sahaja kaum kerdik terus dia tunjuk gambar dia dan kaum kerdil tersebut. Memang benar-benar kerdil, semuanya pendek pendek belaka dari budak kecil sampailah orang tua. 

Katanya kaum ini tidak terlalu sukar kerana mereka masih boleh menerima orang luar yang datang ke penempatan mereka.

Kisah kedua yang menarik dia ceritakan kepadaku ialah berdakwah kepada kaum orang asli yang berbogel di Equador juga dikawasan Hutan Amazon di Amerika Selatan. 

Beliau menyambung cerita, sebelum ke penempatan orang asli berkenaan, kumpulan beliau ada membuat kajian dan beberapa perbincangan.

Hasil dari kajian yang mereka lakukan mereka mendapati bahawa kaum orang asli yang berbogel tersebut sangat berbahaya.

Malah kaum tersebut pernah membunuh beberapa orang pendakwah Kristian yang sampai ke penempatan mereka dengan hanya satu alasan sahaja iaitu pendakwah Kristian tersebut tidak berbogel seperti mereka!!

Pelbagai idea keluar dari perbincangan mereka bagi tujuan ke penempatan orang asli tersebut dan perbincangan menjadi panas bila salah seorang dari mereka memberi cadangan agar mereka juga turut berbogel bagi tujuan tersebut.

Cadangan tersebut mendapat bantahan keras dari pendakwah yang hadir terutamanya “Amir” mereka. Amir merujuk kepada ketua kumpulan dakwah. 

Amir mereka berkata mereka tidak perlu takut kerana kerja dakwah yang kita akan lakukan nanti adalah kerja mulia segalanya kita serah kepada Allah sahaja. 

Beliau menambah lagi, Hidup dan mati semuanya sekali. Jika ditakdirkan kita mati kerana berdakwah syukurlah dari mati di kelab malam. 

Fuh! Berderau juga aku dengar semangat dakwah mereka.

Abang Hashim Moro menyambung cerita. Bila tiba hari yang ditetapkan maka pergilah mereka ke perkampungan orang asli tersebut.

Kumpulan mereka mereka terdiri dari tujuh orang peserta sahaja termasuk “Amir” mereka dan abang Hashim Moro sendiri.

Mereka perlu menempuh perjalanan meredah hutan selama hampir dua hari dari jalan utama dengan dikepalai oleh seorang pemandu arah orang tempatan.

Ketika sudah hampir dengan perkampungan berkenaan mereka masing-masing berborak dan menyerahkan segalanya kepada yang maha kuasa. 

Mengucap siap-siap celah Abang Hashim Moro.

Kaki mula dijejakkan dan mereka sangat terkejut kerana kedatangan mereka yang berpakaian dakwah ke perkampungan orang asli yang sangat asing itu seolah tiada apa-apa. 

Mereka disambut orang penduduk walau tidak dengan meriah tapi apa yang bermain diminda selama ini seolah-olah  berbohong.

Malah ada beberapa orang penduduk boleh bertutur dalam bahasa english walaupun hanya sepatah dua ayat. 

Cukup untuk memahami bahasa masing-masing walaupun sukar. 

Ya.

Mereka semua masih berbogel tapi ada juga yang menutup kemaluan terutamanya warga tua.

Mengikut cerita Abang Hashim Moro, cerita berkenaan kumpulan pendakwah Kristian dibunuh memang benar-benar berlaku, namun bukan kerana mereka tidak berbogel tetapi akibat membuat onar dengan memperkosa gadis-gadis kaum orang asli berkenaan.

Adakah mereka masuk Islam?

Abang Hashim Moro jawab tidak. 

Kerja dakwah terhadap mereka sangat sukar atas beberapa faktor terutamanya mereka hanya berada di perkampungan tersebut selama 2 minggu sahaja. 

Memang ada minat penduduk terhadap Islam bila melihat apa yang dilakukan oleh kumpulan Abang Hashim Moro (ibadat) tapi sayangnya kesukaran memahami bahasa masing-masing menyulitkan kerja dakwah mereka.

Walaupun mereka gagal mengislamkan kaum tersebut namun Abang Hashim Moro bersyukur kerana mereka adalah pendakwah Islam pertama yang menjejakkan kaki di perkampungan tersebut. 

Beliau menambah, moga suatu hari nanti ada golongan dakwah yang kembali kesana dan memudahkan kerja pengislaman kaum tersebut kerana mereka sudah pernah melihatnya sebelum ini.

Walaupun begitu.

Perkenalan aku dengan Abang Hashim Moro berakhir setelah aku tidak lagi menumpang tidur di masjid berkenaan kerana beberapa bulan selepas itu aku dah berkahwin dan menyewa rumah sendiri di Kota Kinabalu.

Beliau pernah memberi kad yang tertera nombor telefon beliau di Malaysia dan Filifina tapi entahlah kemana menghilang kad tersebut bila sekian lama berlalu.

Wassalam.

adios

Ridzwan Rashid

7.12.2020 @ 1.30 PM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan